Untung bank terjejas tapi tak rugi

Tempoh moratorium akan berakhir September ini dan pelanggan perbankan akan mula membayar semula pinjaman masing-masing.

Kebelakangan ini, pelbagai pihak menyuarakan keperluan melanjutkan tempoh moratorium sehingga hujung tahun, malah ada yang mahukan ia digenap kepada setahun.

Ada juga khabar angin mengatakan moratorium akan disambung namun untuk golongan bersasar, golongan berpendapatan terendah (B40) atau golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Ikuti wawancara Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS) PROF MADYA DR AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF bersama wartawan NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN berkaitan isu ini.

Apa kewajaran moratorium bersasar?

Ada dua sebab. Pertama, moratorium akan berakhir September.

Bermakna, tanpa moratorium semua pelanggan perbankan mula membayar semula pembiayaan pinjaman setiap bulan bermula Oktober nanti.

Namun, statistik menunjukkan ekonomi negara belum tentu pulih sepenuhnya tahun ini.

Dua statistik utama iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menguncup akhir tahun ini atau berkemungkinan meningkat sedikit saja.

Kedua, statistik mereka yang kehilangan pekerjaan ialah lima peratus pada Mei lalu atau 780,800 orang.

Dalam senario ini (ramai kehilangan pekerjaan) dan ekonomi negara belum pulih, berkemungkinan ada beberapa golongan sukar bayar semula pembiayaan pinjaman kepada bank jika moratorium berakhir September ini.

Oleh itu, sewajarnya bank mempertimbang lanjutan moratorium yang diberi kepada golongan memerlukan atau bersasar.

Golongan ini ialah individu kehilangan pekerjaan yang masih menganggur.

Satu lagi adalah pekerja yang dikurangkan gaji oleh majikan dan tidak mampu melunaskan komitmen hutang bulanan.

Sekiranya ada moratorium diberi kepada perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS), perlu melihat adakah perniagaan itu berjaya jana pendapatan atau belum dapat pendapatan sehingga kini.

Jika moratorium dibuat untuk setahun apakah kesan kepada institusi kewangan?

Kesannya, institusi kewangan tidak dapat mencapai keuntungan sebelum ini (bukan kerugian).

Jika melihat statistik 2018 dan 2019, keuntungan sebelum cukai bagi sembilan bank tempatan yang tersenarai dalam Bursa Malaysia pada setiap tahun ialah RM35 bilion.

Ini menunjukkan kedudukan kewangan sembilan bank terbabit setiap tahun berada dalam keadaan baik, sentiasa mencatatkan keuntungan berbilion ringgit, mempunyai kecairan mencukupi dan sepatutnya mampu menampung peningkatan permohonan pembiayaan baharu atau kos disebabkan penangguhan moratorium ini.

Bermakna, keuntungan bank terjejas sepanjang tempoh enam bulan pelaksanaan moratorium ini, tetapi tidak sampai tahap mengalami kerugian.

Ia bergantung kepada peratusan dan jumlah produk perbankan ditawarkan berbentuk tetap dan patuh syariah.

Produk perbankan ini (kadar tetap dan patuh syariah) akan lebih terkesan berbanding produk konvensional yang mengikut kadar faedah semasa.

Kesan kepada bank adalah bergantung kepada peratusan produk yang ditawarkan.

Lebih banyak produk patuh syariah ditawarkan sesebuah bank, maka lebih tinggi kos kerugian ditanggungnya.

Bagaimanapun, ia bukan hingga menyebabkan kerugian secara keseluruhan, tetapi keuntungan mereka terjejas

Namun, jika melihat daripada segi kelestarian bank, ia tidak menjadi isu selagi bank boleh menampung pengurangan keuntungan disebabkan moratorium enam bulan ini.

DR AHMED RAZMANDR AHMED RAZMAN

Daripada segi ekonomi, jika bank tidak menerima bayaran balik daripada pelanggan, ia akan menjejaskan keupayaan bank memberi pinjaman kepada individu dan syarikat lain.

Dalam situasi semasa ekonomi yang masih perlahan ini, keperluan pembiayaan kewangan tidak serancak seperti sebelum ini.

Disebabkan itu, bank tiada keperluan meminta bayaran balik kerana belum tentu ramai berminat mendapatkan pinjaman walaupun kadar dasar semalaman (OPR) rendah ketika ini iaitu dua peratus.

Kesan kepada institusi kewangan adalah minimum jika lanjutan moratorium dilaksana.

Bukan semua yang masih bekerja mampu membayar bil sepenuhnya akibat kekangan ekonomi. Adakah wajar golongan ini diminta menjelaskan bayaran tertunggak?

Saya ingin beri cadangan untuk penelitian daripada bank iaitu bertanya kepada pelanggan sama ada mereka (pelanggan) bersetuju atau tidak jika moratorium dihentikan akhir September ini dan meneruskan pembayaran pembiayaan pinjaman kepada bank seperti biasa.

Sekiranya bank lakukan pengkajian ini, sekurang-kurangnya bank dapat mengetahui peratusan pelanggan mereka yang masih memerlukan lanjutan moratorium.

Melalui peratusan diperoleh, ini membolehkan bank membuat perancangan dengan mengambil kira kesan bakal diterima sekiranya meneruskan lanjutan moratorium kepada pelanggan yang memerlukan.

Berapa peratus jangkaan individu tidak dikecualikan lanjutan moratorium?

Sebahagian bank melaporkan apabila moratorium diberi secara automatik, kurang daripada 20 peratus pelanggan memaklumkan kepada bank tidak mahu mengambilnya (moratorium).

Daripada peratusan ini, kita boleh melihat sebenarnya ramai pelanggan memerlukan moratorium untuk menampung kos perbelanjaan yang lain.

Mungkin bukan semua daripada 80 peratus pelanggan yang mengambil moratorium ini terdesak, tetapi menggunakan wang untuk tujuan lain seperti mengurangkan baki kad kredit.

Pada pendapat saya, jika bank melakukan tinjauan ringkas, berkemungkinan bank boleh mendapat gambaran sebenar berapa ramai pelanggan yang benar-benar memerlukan lanjutan moratorium ini.

Jika melihat kenyataan menteri kewangan, Kementerian Kewangan berkemungkinan tidak melaksanakan lanjutan moratorium sebagai perkara wajib.

Namun, menteri kewangan berharap bank mempertimbang untuk memberi keistimewaan ini kepada golongan memerlukan atau pelanggan yang ingin membuat permohonan (lanjutan moratorium) di atas budi bicara bank.

Apa kesan kepada ekonomi yang mana ada segelintir perlu bayar dan sebahagiannya tidak perlu membayar?

Untuk dua golongan ini, pada akhirnya mereka tetap perlu bayar bayaran balik pembiayaan pinjaman.

Bank akhirnya mendapat bayaran penuh walaupun lewat sedikit.

Sebenarnya, penangguhan bayaran balik pinjaman ini memberi kesan kepada institusi kewangan tetapi kita tidak mengetahui kesannya kepada ekonomi.

Sekiranya peratusan yang meminta penangguhan lanjutan ini rendah, maka kesannya minimum.

Saya tidak rasa keupayaan bank memberi pembiayaan kepada pelanggan baharu terjejas jika melanjutkan moratorium kepada golongan memerlukan kerana ekuiti dan modal pusingan bank kukuh.

Bank Negara memaklumkan sejak krisis 1998 hingga kini, bank memastikan mempunyai kecairan mencukupi untuk berhadapan krisis yang berlaku selepas ini.

Impak moratorium ini kepada bank ialah minimum dan mereka mampu menanganinya.

Bagaimana cara golongan tidak bersasar boleh mohon lanjutan moratorium?

Tiada keperluan golongan tidak bersasar untuk membuat permohonan lanjutan moratorium bersasar.

Ini kerana keperluan moratorium bersasar ini ditawarkan untuk golongan yang benar-benar memerlukan seperti M40 dan B40.

All copyrights for this article are reserved to CNET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *