Suami isteri tipu promosi pakej penginapan ditahan

Sungai Buloh: Suami isteri didakwa memperdaya orang ramai dengan menawarkan pakej penginapan hotel mewah dengan harga promosi mengakibatkan kerugian lebih RM500,000 sudah ditahan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, suspek berusia 27 tahun dan isterinya, 26, ditahan di sebuah inap desa di Ampang selepas menerima maklumat.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima 30 laporan polis daripada sekumpulan mangsa membabitkan kerugian RM26,193 berhubung pakej berkenaan.

Katanya, pihaknya turut menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai jururawat sebuah hospital kerajaan dan ditawarkan sebagai ejen kepada suspek pada 13 September lalu.

“Mangsa terbaca tawaran itu melalui aplikasi WhatsApp kumpulan kerjanya mengenai promosi penginapan termasuk sarapan pagi di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan pakej harga RM88 hingga RM499 semalam.

“Dia kemudian menghubungi wakil syarikat terbabit sebelum ditawar menjadi ejen syarikat dengan diberi komisen 10 peratus daripada harga pakej bagi setiap pelanggan,” katanya pada sidang media di IPD Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Shafa’aton berkata, susulan itu, 26 rakan sekerja mangsa turut membuat pembayaran pakej penginapan itu sebanyak RM7,778 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikat itu.

“Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan ditubuhkan pada September tahun lalu atas nama lelaki terbabit di mana ia tidak mempunyai premis perniagaan.

“Syarikat menjalankan promosi melalui media sosial dan memberi komisen 10 peratus kepada ejen yang memperkenalkan pelanggan yang membuat tempahan penginapan,” katanya.

Katanya, suspek juga tidak pernah memohon atau mendaftar bagi mendapatkan lesen pengendalian pelancongan selain syarikatnya tidak pernah dilantik sebagai ejen dari mana-mana hotel atau kediaman.

“Kita turut merampas empat unit telefon bimbit dan dua komputer riba bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek direman sehingga esok untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan suspek terbabit didakwa mengambil kesempatan menawarkan promosi pakej penginapan bilik hotel mewah kononnya bagi menghargai petugas barisan hadapan Covid-19.

Percutian hotel mewah berkenaan ditawarkan sejak Jun lalu dan paling ramai menjadi mangsa adalah pakej sempena cuti Hari Kebangsaan, 31 Ogos lalu membabitkan 40 laporan polis.

All copyrights for this article are reserved to CNET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *