869 kes baharu Covid-19, 4 kematian [METROTV]

Putrajaya: Penularan Covid-19 dalam negara kian membimbangkan apabila merekodkan 869 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu sebanyak 19,627 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 6,886 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua kes baharu dilaporkan itu membabitkan penularan tempatan, tiada kes import.

Beliau berkata, daripada keseluruhan penularan wabak itu, 90 peratus kes dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan penjara.

Katanya, pecahan kes tertinggi direkodkan di Sabah (451), Pulau Pinang (189), Selangor (159), Kedah (38) dan Kuala Lumpur (15).

“Jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 451 kes (51.9 peratus), manakala, negeri di Lembah Klang pula merangkumi 20.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Selangor mencatat 159 kes, Kuala Lumpur 15 kes dan Putrajaya dua (2) kes.

“Kesemua negeri ini dalam PKPB. Secara keseluruhan, sebanyak 224 kes (25.8 peratus) pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai. Kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian mengenai Covid-19 yang dibuat secara langsung dari kediamannya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, daripada 869 kes penularan di dalam negara, 745 kes adalah warganegara dan 124 kes lagi bukan warganegara.

DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTPDR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

“Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, empat kes membabitkan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak 441 kes.

“Antara negeri lain yang terjejas akibat penularan wabak ini ialah Sarawak (4 kes), Perak (4 kes), Terengganu (3 kes), Johor (2 kes), Putrajaya (2 kes), Negeri Sembilan (1 kes) dan Melaka (1 kes). Selain itu, lima kluster baharu dilaporkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, ada 302 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 12,561 kes.

“Sehingga kini, 91 pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, empat kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian bertambah 180 kes.

Semua kematian dilaporkan berlaku di Sabah iaitu dua kematian direkodkan di Kota Kinabalu, satu kematian di Tawau dan satu lagi dilaporkan di Sandakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to CNET

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *