Rumah dalam gua pun Israel mahu robohkan [METROTV]

Baitulmaqdis: Dibina di dalam sebuah gua di utara Tebing Barat, rumah didiami Ahmed Amarneh mungkin menjadi kediaman pertama seumpamanya dirobohkan tentera zionis di Palestin.

‘Dibina’ sejak lebih setahun lalu, rumah itu yang terletak di kaki bukit di Farasin, menjadi sasaran rejim Israel dengan alasan tidak mempunyai permit serta kebenaran pihak berkuasa.

Lengkap dengan dapur, ruang tamu, dan bilik tidur, ia menjadi kediaman kepada isterinya yang mengandung serta anak perempuannya.

Amarneh memberitahu AFP, dia pernah cuba membina rumah sebanyak dua kali di kawasan itu, tetapi dimaklumkan bahawa ia dilarang oleh pihak berkuasa Israel yang menetapkan setiap pembinaan kediaman baharu mesti mendapat kebenaran.

Menurut Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada 1990, penduduk Palestin mempunyai hak menentukan peraturan sendiri di wilayah mereka di Tebing Barat.

Bagaimanapun, 60 peratus daripada kawasan itu yang digelar sebagai Area C, termasuk Farasin, masih berada dalam kawalan tentera Israel sepenuhnya.

RUMAH gua Amarneh. FOTO AFPRUMAH gua Amarneh. FOTO AFP

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkategorikan Area C sebagai Wilayah Palestin yang dijajah.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan Israel rakus membina membina penempatan haram Yahudi, sekali gus membelakangkan undang-undang antarabangsa.

Amarneh beranggapan bahawa dia tidak membina rumah gua itu secara haram dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) bersetuju untuk mendaftarkan tanah itu di atas namanya.

Jurutera berusia 30 tahun itu berkata, dia menutup laluan masuk dengan batu dan memasang pintu kayu di gua itu.

Katanya, dia dan 20 penduduk Palestin yang lain menerima notis untuk merobohkan kediaman mereka.

Cawangan tentera Israel yang bertanggungjawab untuk urusan awam di Tebing Barat, Cogat memberitahu AFP, notis itu diberikan kepada beberapa penduduk Farasin kerana ‘struktur yang dibina secara tidak sah dan memerlukan kelulusan.’

“Saya tidak membina gua. Ia wujud sejak dulu lagi. Saya tidak faham mengapa mereka menghalang saya daripada tinggal di dalam gua.

“Binatang yang tinggal di dalam gua tidak dihalau. Jadi biar mereka layan saya seperti itu dan terus tinggal di dalam gua ini,” katanya.

Menurut ketua pihak berkuasa tempatan, Mahmud Ahmad Nasser, penduduk Arab membangunkan perkampungan Farasin pada 1920.

Ia ditinggalkan pada 1967 ketika Perang Enam Hari Arab-Israel, di mana bermulanya penjajahan Israel di Tebing Barat.

Bagaimanapun, pada 1980-an, penduduk kembali semula ke kawasan itu.

All copyrights for this article are reserved to CNET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *