Siti jadi 'spy' menyamar

TANGGAL 16 Oktober lalu menjadi detik yang dinanti-nantikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila video muzik untuk lagu berjudul Siapa Tak Mahu dilancarkan secara rasmi.

Berbeza dengan video muzik lain yang pernah diterbitkan, Siapa Tak Mahu memberi peluang kepada mestika hati ramai peminat itu untuk ‘menyamar’ dalam beberapa watak.

Mengisi kulit depan sisipan Rap Xtra minggu ini, Siti berkongsi pengalamannya menjadi ‘perisik’ dalam video muzik terbaharu itu.

“Dalam video muzik Siapa Tak Mahu, saya memegang watak sebagai perisik atau ‘spy’ dan menariknya, saya umpama menyamar menjadi beberapa watak,” katanya membuka sesi bual bicara.

Bercerita lebih lanjut mengenai penghasilan video muzik lagu ciptaan John Jeevasingham, Ikhwan Fatanna dan Omar K itu menjadi video muzik pertama menggunakan banyak persalinan.

“Ini menjadi antara video muzik yang memerlukan banyak persalinan. Jadi, kalau ditonton video muzik itu, penonton dapat melihat sendiri berapa banyak busana yang saya pakai.

“Dari segi lagu, Siapa Tak Mahu adalah lagu moden yang rancak, namun diulit dengan elemen tradisional di bahagian tengahnya. Turut diselitkan nasihat yang disampaikan dalam bentuk peribahasa,” katanya.

Diterbitkan oleh Zeel Production dan mendapat sentuhan pengarah Ghazi Maslan, video muzik Siapa Tak Mahu juga menampilkan dua bintang menyinar dalam dunia lakonan tanah air iaitu Hun Haqeem dan Mira Filzah.

“Mira dan Hun adalah pelakon yang sedang meningkat popular dalam fasa karier masing-masing. Kedua-duanya memiliki kelebihan dan peminat yang pasti akan sentiasa mengikuti perkembangan mereka.

“Selain menjadi daya penarik dalam video muzik kali ini, ia juga adalah sebagai tanda penghargaan buat mereka kerana sudi bekerjasama untuk menjayakan Siapa Tak Mahu,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya untuk video muzik Siapa Tak Mahu, Siti mengharapkan ia mendapat sambutan baik daripada peminat.

“Bagi saya, YouTube menjadi antara laman yang akan dilayari ramai dan tentunya, saya gunakan peluang ini supaya video muzik saya akan mendapat jumlah tontonan menggalakkan.

“Kalau mereka tonton berkali-kali juga tak mengapa kerana bukan selalu saya muncul dengan pelbagai watak dan penampilan berbeza. Saya kira, inilah yang peminat nantikan,” katanya.

Meskipun kini berada dalam fasa berehat, Siti tidak boleh duduk diam kerana dia sudah terbiasa melakukan pelbagai aktiviti.

“Kebetulan dalam fasa berehat ini, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Di rumah pun, saya lakukan beberapa aktiviti sejak sebulan lalu sebab kalau tak buat apa-apa, rasa janggal pula.

“Aktiviti perniagaan, pasti saya perlu lipat gandakan secara online dan pada masa sama, bantu staf saya. Selain itu, ada juga beberapa temu bual menerusi telefon yang saya lakukan untuk mempromosikan lagu Siapa Tak Mahu,” katanya.

Aafiyah faham perjuangan ibunya

Disebabkan memilih untuk berehat, Siti juga berdepan pelbagai persoalan mengenai kehamilan lebih-lebih selepas tular di media sosial, video anaknya, Siti Aafiyah yang seperti memberi petanda bakal mendapat adik.

“Aafiyah memang anak yang ‘chicky’ dan dia tahu saya berdoa dan sedang berusaha mendapatkan cahaya mata. Reaksi Aafiyah adalah reaksi biasa seperti anak yang lain. Saya kira Aafiyah memahami perjuangan ibunya,” katanya.

Kerap menerima pelbagai juadah daripada peminat, Siti mengucapkan terima kasih kepada mereka. Namun, pada masa sama, dia menjelaskan bahawa dia bukanlah membuat ‘review’ makanan semata-mata.

“Setiap hari, ramai yang bermurah hati menghantar makanan ke rumah. Semampunya, saya akan bantu untuk membuat ‘review’ kerana kebanyakan mereka adalah peniaga kecil. Saya bersyukur kalau sumbangan kecil yang dilakukan itu secara tak langsung dapat membantu mereka.

“Namun, saya tak mahu orang salah faham kerana saya bukan buat ‘review’ makanan semata-mata, sebaliknya kalau ada masa terluang dan kebetulan ada di dapur, bolehlah saya buat.

“Risau juga kalau ada yang menganggap, saya wajib untuk membuat ‘review’ makanan yang mereka hantar. Saya yakin, pemberian mereka itu ikhlas buat saya,” katanya.

Berbicara mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap industri seni tanah air, Siti juga tidak menafikan ada kesan yang jelas kelihatan dan terpaksa dilalui anak seni.

“Saya kira, apa juga industri terkesan dengan apa yang berlaku hari ini. Industri hiburan pun baru saja memulakan semula kerja seni beberapa bulan dan sekarang, kita semua perlu akur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Saya lihat, ramai dalam kalangan artis juga sudah melakukan cabang pekerjaan lain termasuk menceburi perniagaan. Ini juga, salah satu cara kita bersedia untuk masa depan.

“Kita perlu cari banyak peluang dan ruang kerja bidang lain kerana kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to CNET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *