Mampu tiru suara puluhan penyanyi wanita

Kuala Lumpur: Seorang lelaki mempunyai keunikan tersendiri apabila dia mampu meniru suara penyanyi wanita terkenal negara.

Lebih mengagumkan, bukan satu suara sebaliknya dia boleh meniru dan mendendangkan ‘suara’ nyanyian puluhan penyanyi wanita asal lagu berkenaan.

Video nyanyian Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, 21, tular di media sosial sehingga ditonton lebih 600,000 kali di Twitter dan Instagram miliknya.

Menerusi video berdurasi 2 minit 42 saat itu terbukti Muhammad Amir mampu meniru seakan-akan suara 11 penyanyi terkenal tanah air antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datin Alyah, Dayang Nurfaizah, Aishah, Shila Amzah, Ning Baizura, Adibah Noor, Ziana Zain, Jaclyn Victor, Nabila Razali dan Elizabeth Tan.

Dia yang juga penuntut Diploma Teater Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana berkata, bakatnya itu mula dicungkil sejak sekolah menengah lagi menerusi lakonan teater.

“Ia bermula ketika diberikan kepercayaan oleh guru, Thuraya Sazali untuk membawa watak seorang ibu dan daripada situ saya mula mengenal bunyi-bunyi dibuat manusia.

“Alhamdulillah,tuhan memberikan bakat yang saya sendiri tidak jangka kepada seorang lelaki bukannya kepada wanita,” katanya kepada Harian Metro.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, selain ahli keluarga dia turut berterima kasih dengan ibu angkatnya, Noor Diran Adham yang banyak menyokong bakatnya sehingga hari ini.

Bercerita lanjut, Muhammad Amir berkata, walaupun menerima banyak komen positif warganet namun dia turut menerima beberapa kecaman.

“Saya bukannya mahu mencemarkan imej lelaki dengan meniru suara wanita, itu hanyalah bakat seni yang ingin saya ketengahkan.

“Mimik muka yang agak melucukan itu pula disebabkan banyak menggunakan pernafasan mulut dan hidung, bukannya mahu menjadikan ia bahan jenaka semata-mata,” katanya.

Anak kelahiran Selama, Perak itu berkata, dia juga boleh meniru suara penyanyi luar negara antaranya Billie Eilish, Britney Spears, Adale dan berberapa artis dari Bollywood seperti Shreya Goshal dan Alka Yagnik.

Selain itu, Muhammad Amir juga boleh meniru suara latar untuk watak-watak popular anime dan beberapa bunyi unik lain.

Menurutnya lagi, dia meminati penyanyi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), Ernie Zakri dan sedang menyusun perancangan untuk menjadi guru vokal seperti idolanya itu.

All copyrights for this article are reserved to CNET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *