Tebal muka pinjam duit jiran [METROTV]

Tanah Merah: “Kami tiga beradik perlu bergilir-gilir menjaga dan menguruskan keperluan ibu yang terlantar sejak dua tahun lalu selepas kedua-dua pahanya patah akibat terjatuh,” kata Rosmawati Ishak, 43.

Menurutnya, akibat kejadian itu, ibunya Zainab Taib, 76, lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Katanya, lebih menyedihkan, arwah ayahnya, Ishak Daud, 74, meninggal dunia Mac lalu selepas hampir empat bulan menderita penyakit lumpuh otak selain kencing manis, sekali gus memberi tamparan hebat kepada ibunya yang sudah lebih 50 tahun hidup bersama.

“Sejak terlantar, ibu terpaksa memakai lampin pakai buang dan segala keperluannya termasuk memberi makan, minum dan memandikannya akan diuruskan bersama abang dan adik. Pada masa sama, ibu juga mengalami masalah daya ingatan disebabkan usianya yang semakin tua.

“Selagi masih bernafas, kami adik-beradik akan terus menjaga ibu kerana dia adalah tanggungjawab kami. Saya juga sentiasa berdoa supaya diberikan kesihatan baik untuk terus menjaga ibu hingga ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pondok Hidayah, Kampung Cawas di sini.

Rosmawati yang juga ibu tunggal berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di Pasir Mas dengan upah sebanyak RM30 sehari.

“Wang yang diperoleh ini digunakan untuk menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga selain keperluan ibu yang sakit.

“Abang ketiga saya, Mohd Fauzi, 51, yang belum berumah tangga dan tinggal bersama terpaksa berhenti kerja sebagai tukang rumah sejak beberapa bulan lalu berikutan penyakit buasir dihidapi yang membataskan pergerakannya.

“Adik bongsu pula, Nor Has Azlina Ishak, 38, yang juga ibu tunggal terpaksa berhenti menoreh getah kerana perlu menjaga anak bongsunya berusia lima tahun yang menghidap penyakit asma,” katanya.

ROSMAWATI dan Fauzi bergilir-gilir menjaga Zainab  yang terlantar sejak dua tahun lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi ROSMAWATI dan Fauzi bergilir-gilir menjaga Zainab yang terlantar sejak dua tahun lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Dia yang juga anak kelima daripada enam beradik berkata, setiap bulan, mereka perlu memperuntukkan RM500 untuk membeli keperluan Zainab termasuk lampin pakai buang dan kos ubat-ubatan yang lain.

“Jika kesempitan wang, ada ketikanya saya terpaksa menebalkan muka untuk meminjam wang daripada jiran, saudara-mara dan majikan untuk membeli keperluan ibu apabila menghadapi masalah kewangan,” katanya yang memberitahu ibunya itu tidak mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

All copyrights for this article are reserved to CNET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *