[UPDATE] 5 mangsa kebakaran dikenal pasti

Klang: Empat sekeluarga dan seorang jiran mereka maut dalam satu kejadian kebakaran di satu deretan lima unit rumah di Lorong Mokhtar, Kampung Delek di sini, 3.40 pagi, hari ini.

Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri Fauzi Daut, 44, dan Sarimah Yusuf, 37; kakak Fauzi, Fauziah Daut, 50; anak saudara pasangan itu, Mohd Amirudin Ali, 12, serta jiran mereka Ubaidilah Ayob, 48.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada kira-kira 3.56 pagi dan setibanya di lokasi sembilan minit kemudian, api dilihat sedang sangat marak.

Beliau berkata, tindakan pantas pihaknya juga berjaya mengelakkan tiga lagi unit rumah sederet di situ musnah dalam kebakaran itu dan kira-kira lapan penghuni rumah berkenaan juga sempat menyelamatkan diri.

“Kita dimaklumkan terdapat lima mangsa terperangkap dalam dua daripada tiga rumah yang terbakar. Pemeriksaan mendapati empat mayat dijumpai bersembunyi dalam bilik air dan mayat kanak-kanak itu pula berada berdekatan pintu bilik air,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pagi ini.

“Mereka dipercayai cuba mengelakkan diri daripada kebakaran berkenaan. Siasatan awal mendapati pintu rumah tersebut berkunci dan mangsa-mangsa bersembunyi di bilik air mungkin disebabkan mereka panik akibat tidak jumpa kunci rumah,” tambahnya.

Norazam berkata pemeriksaan awal mendapati mayat Mohd Amirudin terbakar 30 peratus manakala mayat Fauzi, Sarimah dan Fauziah pula terbakar 80 peratus, dan mayat Ubaidilah tidak terbakar, dan dia dipercayai maut akibat terhidu asap tebal.

Beliau berkata, saksi memberitahu ada terdengar bunyi letupan namun pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kebakaran dan ia dipercayai bermula daripada rumah pertama dihuni oleh Ubaidilah.

Katanya semakan mendapati rumah sederet itu dipercayai rumah sewa yang dibina sekitar 1994 namun tidak pernah dirujuk kepada pihak bomba untuk pemeriksaan ciri-ciri keselamatan, dan kebakaran itu merebak dengan pantas.

Norazam berkata, kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan:

  • 5 rentung dalam kebakaran
  • All copyrights for this article are reserved to CNET

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *